Tempat-Tempat Menarik di Jalan Gombak Lama. (Jalan Gombak – Genting Sempah). Selangor/Pahang
Kebanyakan orang semestinya beranggapan hanya Lebuhraya Karak satu-satunya jalan menuju ke Genting Sempah. Sebenarnya terdapat sebuah jalan klasik yang wujud sejak dahulu lagi iaitu Jalan lama Gombak ke Genting Sempah. Jangan keliru dengan Jalan Karak Lama kerana jalan tersebut adalah di sebelah Karak dan bukannya di sini.
Jalan lama Gombak ke Genting Sempah sangat jarang dilalui oleh kenderaan kerana keadaan jalan yang kecil, sedikit berlubang dan bengkang bengkok. Melalui jalan ini agak kurang selesa terutama pada waktu malam yang gelap. Dari segi jarak perjalan, tidak jauh beza dengan lebuhraya tetapi semestinya mengambil masa lebih panjang. Kelebihan jalan ini hanyalah ia tidak dikenakan Tol. Namun begitu, pada musim-musim perayaan apabila berlaku kesesakan teruk lalu lintas di Tol Gombak, jalan ini akan menjadi alternatif. Banyak kenderaan akan melalui jalan ini dari R&R Genting Sempah dan tidak memilih menggunakan lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.
Ramai juga yang beranggapan Jalan Lama Gombak berhantu dan percaya dengan cerita karut yang tidak munasabah walaupun jalan ini sebenarnya agak selamat untuk dilalui. Cuma kadangkala terdapat pokok tumbang atau tanah runtuh di laluan ini. Ramai orang keliru dan menyatakan ini adalah Jalan Karak Lama, Jalan Karak Lama terletak di laluan menghala ke Karak sedangkan jalan ini adalah dari Gombak ke Genting Sempah iaitu belum sampai ke Bentong lagi.
Mungkin tidak banyak lokasi menarik di laluan ini tetapi jika anda mahu tahu terdapat beberapa lokasi yang mungkin boleh dilawati jika berkelapangan. Bermula dari Batu 8, pekan lama Gombak sehingga ke Genting Sempah yang berjarak sejauh 22 KM.
-Kedai-Kedai Makan di Batu 8, pekan lama Gombak (yang berhadapan dengan Tanah Perkuburan Islam). Antara kedai yang popular di sini adalah Santai Place Tom Yam & Steamboat, Pak Din Satay dan Wira Seafood. Terdapat banyak lagi kedai makan menarik di sekitar sini.
-Muzium Orang Asli Gombak. Terletak di Batu 12 iaitu selepas Hospital Orang Asli. Anda boleh melawat muzium ini yang menerangkan tentang masyarakat Orang Asli terutama di Semenanjung Malaysia.
-Kawasan Rekriasi Alang Sedayu. Simpang ke kawasan ini terletak 1 KM selepas Muzium Orang Asli. Terdapat banyak Resort dan Chalet di sini yang berkonsepkan alam semulajadi dengan aliran Sungai Gombak. Terdapat juga trek hutan untuk ke Air Terjun Sungai Pisang.
-Pusat Penyelidikan Universiti Malaya dan Perkampungan Orang Asli. Anda mungkin tidak boleh melawat lokasi ini tetapi untuk makluman sahaja. Ianya terletak berdekatan dengan sebuah Kuil.
-Air Bukit/Terjun di tepi
jalan, Batu 25 atau Kilometer Ke 18. Terdapat dua lokasi air bukit di tepi
jalan dalam laluan ini.
-Kuil untuk yang beragama Hindu. Terdapat dua Kuil besar dalam perjalanan ini.
Mungkin ramai yang sedar, sejak tahun 2017, Jalan lama Gombak telah dijadikan sebagai lokasi untuk peminat basikal kerana jalan ini tidak begitu sibuk. Peminat sukan basikal akan menggunakan jalan ini sehingga ke R&R Genting Sempah dan berpatah balik.
Jalan lama Gombak akan diteruskan ke Janda Baik, Bukit Tinggi, Lentang dan berakhir di Bentong. Terdapat banyak lagi lokasi menarik terutama di kawasan selepas Kampung Bukit Tinggi.
Comments
Post a Comment