Bukit Jugra, Banting, Selangor.
Pengenalan
Terletak kira-kira 12KM dari pekan Banting, Bukit Jugra sebenarnya berada tidak jauh dari muara Sungai Langat. Dari Banting, anda akan melalui jalan kampung dan kawasan perkampungan Permatang Pasir untuk sampai ke sini.
Kawasan parking kenderaan dan laluan jalan tar kecil untuk kenderaan naik ke atas telah disediakan oleh pihak kerajaan. Apabila mendaki, anda akan melalui kawasan kubur yang terletak bersebelahan jalan dengan pemandangan indah. Di atas Bukit Jugra terdapat Rumah Api dan Radar yang dimiliki oleh Jabatan Laut. Di sebelah Rumah Api terdapat lapangan/dataran untuk bergambar dan berehat sambil melihat pemandangan yang mempersonakan. Rumah Api semestinya menjadi binaan ikonik bukit ini sejak dahulu lagi.
Tidak dapat dipastikan di manakah puncak sebenar bukit ini tetapi terdapat sebuah kem milik TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysai) terletak tidak jauh dari Rumah Api tadi. Mungkin di kawasan itulah puncaknya.
Aktiviti Utama
Orang ramai sering menjadikan bukit ini sebagai tempat beriadah pada pagi dan petang hari. Jarak dari tempat parking bawah (di simpang) ke rumah api adalah sekitar 1KM. Jika anda mahu meneruskan sehingga ke pintu masuk kem TUDM, tambah perjalanan sekitar 1KM lagi. Semestinya jika mahu beriadah, anda perlu mendaki bukit ini dengan berjalan kaki. Namun, ada juga yang menaiki kenderaan kerana mungkin mereka mahu cepat dan mahu melihat pemandangan sahaja.
Bukit Jugra turut terkenal sebagai tempat peminat-peminat sukan ekstrem melaksanakan aktiviti Para-Gliding atau bermain dengan payung terjun. Angin yang bertiup kuat di bukit ini memberikan suasana yang sesuai untuk bermain Para-Gliding dan beriadah.
Apakah daya tarikan bukit ini? Semestinya pemandangan indah yang anda dapat lihat dari atas bukit. Keindahan muara Sungai Langat dan lautan Selat Melaka menjadikan kawasan ini menjadi tumpuan peminat fotografi dan video. Selain itu, bukit ini menjadi lokasi riadah popular penduduk sekitar dan menjadi rutin mingguan mereka. Ramai juga orang luar dan pelancong asing yang datang melawat.
Terdapat banyak monyet berkeliaran terutama di kawasan parking kenderaan. Ini memerlukan pengunjung agar lebih berhati-hati jika berkunjung ke sini kerana monyet ini sangat agresif. Terutamanya jika anda sedang memegang makanan seperti roti atau pisang.
Kemudahan Yang Disediakan
Tiada kemudahan khusus yang disediakan di kawasan Bukit Jugra. Tiada kemudahan tandas, pejabat, surau dan lain-lain kerana ini bukanlah kawasan rekriasi yang khusus (seperti Taman Eko Rimba). Hanya terdapat gerai kecil menjual minuman dan makanan ringan di kawasan parking kenderaan.
Parking kenderaan juga agak terhad pada waktu puncak dan musim cuti. Mungkin pada masa akan datang, lebih banyak kemudahan akan dibina di kawasan ini.
Trek mendaki Bukit Jugra
Untuk pengetahuan anda, terdapat juga laluan denai hutan untuk ke sini. Anda juga boleh ke bukit ini dengan menggunakan satu laluan lagi iaitu melalui denai hutan yang terletak berdekatan dengan Masjid (Masjid Al-Muttaqin Permatang Pasir). Kemudian laluan hutan itu akan keluar berdekatan dengan pintu masuk kem TUDM. Tetapi, laluan hutan lebih jauh dan mencabar berbanding laluan biasa (jalan tar). Laluan denai hutan lebih sesuai untuk mereka yang sudah biasa dengan aktiviti lasak.
Mendaki dari laluan denai hutan mengambil masa antara satu ke dua jam bergantung kepada kemampuan anda, berbanding hanya 30 minit ke satu jam jika mengikut laluan biasa. Oleh itu, anda boleh memilih untuk mandaki dari laluan denai atau jalan tar (laluan utama) ke Bukit Jugra. Atau mugkin kedua-dua sekali jika anda mahu membuat pendakian rentas.
Peta Lokasi Bukit Jugra dan Kawasan-kawasan menarik yang berkaitan. |
Maklumat Lain.
Jika dahulu (sebelum 2010), tidak banyak tempat menarik terdapat berdekatan Bukit Jugra atau mungkin tidak dihebahkan kepada orang ramai. Tetapi kini, antara tempat2 menarik lain yang boleh anda lawati adalah:
-Muzium Tapak Jugra
-Makam Sultan Abdul Samad.
-Lookout Point Sungai Langat (Lokasi memancing).
-Pasar Ikan Segar Kelanang (Terdapat jeti dan pemandangan indah di sini)
-Pantai Kelanang
-Kedai2 makan menarik berdekatan.
Sekiranya anda tidak pernah berkunjung ke sini, sila lawati tempat ini kerana anda tidak rugi datang ke sini. Tetapi jika anda sudah lama tidak berkunjung, jemput datang ke sini kerana sudah banyak lokasi menarik yang ada. Sila lihat Galeri-Galeri di bawah:
.
.
.
Mungkin ini Pejabat Kubur. Kelihatan ramai juga orang menggunakan Tandas di sana. Mungkin dibenarkan tidak pasti. |
Bukit Jugra yang merupakan lokasi popular untuk sukan Paragliding. Ada kelab sukan ini di sekitar sini. |
Comments
Post a Comment