Hutan Lipur Lata Lembik, Pos Buntu, Kampung Ulu Sungai, Raub, Pahang

 

Terletak di hujung kampung dan sebelah hutan belantara. Itulah yang boleh diungkapkan dengan lokasi Hutan Lipur ini yang juga terletak di kawasan Perkampungan Orang Asli Pos Buntu, Kampung Ulu Sungai, Raub, Pahang.

 

Jika anda dari pekan Raub, anda perlu melalui Jalan Raub ke Songai Koyan. Melepasi pekan Cheroh dan sebelum sampai ke pekan Batu Malim. Ambil simpang ke Kiri yang menghala ke Kampung Ulu Sungai dan Pos Buntu. Jarak Hutan Lipur dari Jalan Besar adalah sekitar 25KM. Perjalanan ini agak jauh juga kerana ramai yang suka memilih Hutan Lipur berdekatan dengan jalan besar.

 

Perjalanan 25 KM mungkin menyebabkan anda berasa salah jalan atau menganggap lokasi ini tidak wujud. Tetapi setelah anda melepasi Pusat Herba Kebangsaan dan kemudian menemui perkampungan orang Asli Pos Buntu, masuk kiri untuk ke Hutan Lipur Lata Lembik yang juga akan kelihatan sungai yang mengalir berhampiran jalan.

 

Bayaran masuk ke Hutan Lipur ini adalah RM 3 dan dibayar di pondok pintu masuk utama Hutan Lipur. Hanya satu jalan masuk ke sini dan walapun kawasan ini tidak berpagar, namun ia dikelilingi oleh hutan dan semak yang sukar untuk diceroboh. Cuma terdapat satu lagi jalan kecil terus kehadapan di hujung Hutan Lipur.

 

Hutan Lipur ini agak berbeza dengan yang lain kerana ia terletak di hujung kampung dan agak hulu. Air sungai yang mengalir di sini adalah permulaan kepada Sungai Lipis. Aliran sungai ini agak besar dan deras. Jeram utama yang terdapat di sini juga agak luas dan deras. Oleh itu, bermandi mandi di sini harus berhati-hati dan perlu pemantauan. Jika cuaca hujan ataumendung di hulu (bukit), ambil langkah bersedia jika air semakin kuat.

 

Daya Tarikan dan Aktiviti

Daya tarikan utama Hutan Lipur ini semestinya bermandi manda dan berkhelah. Walapun tidak terdapat Air Terjun yang besar atau tinggi, tetapi aliran sungai segar dan jeram yang bersih memberikan suasana yang pasti menarik. Kawasan bermandi manda dan berkhelah juga agak luas dan memanjang, anda boleh memilih lokasi yang diminati. Samada tepi sungai atau ke dalam hutan, memang terdapat banyak pilihan.

 

Berkhelah, berkhemah dan memasak juga agar menarik di lokasi ini kerana agak sunyi dan jauh dari kebisingan. Mungkin rangkaian telefon agak perlahan beberapa tahun yang lalu (atas alasan berada di dalam hutan), tetapi kini terdapat menara pemancar dibina berdekatan. Isyarat masih baik walaupun perlahan sedikit. Mungkin pada masa akan datang, isyarat telefon akan lebih baik.

 

Terdapat Jambatan Gantung untuk anda merentasi Sungai, melihat aliran sungai dan pemandangan jeram. Lokasi bergambar juga terdapat berdekatan dengan Jambatan tadi untuk kepuasan pengunjung.

 

Melepasi Jambatan Gantung tadi, terdapat kawasan sukan Ekstrem dan kawasan perkhemahan di dalam hutan. Trek atau denai hutan pendek juga terdapat di lokasi ini untuk anda merasakan pengembaraan ke dalam hutan jangka pendek. Terdapat dua lokasi perkhemahan iaitu Campsite B yang dekat di tepi sungai dan Campsite di dalam hutan. Sementara Sukan Ekstrem pula adalah untuk peminat-peminat sukan seperti memanjat tembok dan tali.

 

Kemudahan di Lokasi

Hutan Lipur ini bersaiz besar dan luas, oleh itu semua kemudahan asas dan tambahan terdapat di sini. Kemudahan asas seperti Tandas, Parking Kenderaan, Surau, Pondok Rehat, Kawasan Perkhemahan dan lain-lain yang ringkas memang tersedia. Terdapat dua kawasan parking kenderaan dan dua lokasi tandas awam.

 

Lebih menarik, Hutan Lipur ini juga terdapat kemudahan Dewan Terbuka, Chalet, Pejabat, Kawasan Motivasi, Kedai Makan dan lain-lain. Tidak semua Hutan Lipur memiliki kemudahan tambahan seperti ini. Tetapi kemudahan Chalet kelihatan agak terhad.

 

Terdapat pejabat dan kemudahan stor barangan untuk sukan Outdoor dan Ekstrem. Begitu juga kawasan dewan kecil untuk latihan. Terdapat beberapa kedai makan dan gerai untuk dikunjungi walaupun banyak yang tutup kerana PKPB.

 

Hutan Lipur ini juga mempunyai kemudahan sukan Flying Fox dan Wall Climbing. Sukan memanjat dan Height Confidence (Highrope Element) juga terdapat di sini. Tetapi disebabkan PKP, kemudahan khas ini tidak digunakan untuk jangkamasa yang lama. Dikhuatiri ia akan rosak dan usang.

 

Aktiviti Lain

-Merentas hutan jarak jauh mungkin boleh dilakukan di sini. Jika anda jalan terus ke hadapan Hutan Lipur ini, terdapat dua laluan iaitu jalan raya dan denai. Namun ianya memerlukan bantuan jurupandu.

-Terdapat laluan jalan raya kecil jika anda berjalan terus kehadapan Hutan Lipur. Laluan ini adalah untuk aktiviti ekspedisi kenderaan pacuan 4 roda atau 4WD. Laluan tersebut dikatakan boleh tembus ke negeri Perak.

 

 

Maklumat Lain

-Tiada stesen minyak terdekat di kawasan ini. Jika anda kehabisan minyak, boleh beli minyak botol di kedai runcit berhampiran dengan harga dan kuantiti yang sesuai.

-Kela Adventure Camp terletak di tepi jalan dalam perjalanan ke sini. Mungkin ia adalah sebuah Kem Perkhemahan berkonsepkan alam semulajadi.

-Terdapat Kem atau Resort yang sedang dibina berdekatan/sebelum hutan lipur ini. Mungkin akan dibuka nanti pada masa akan datang.

 

Hutan Lipur Lata Lembik memang jauh ke dalam dan untuk datang ke sini semestinya memerlukan masa dan kemahuan. Jika rumah anda dekat tidak mengapa tetapi jika jauh mungkin agar sukar untuk datang. Oleh itu, disarankan agar anda datang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kerana lokasi ini sangat menarik untuk dikunjungi.

Sila lihat Galeri-Galeri di bawah:

 

Lebih 1 KM dari simpang kiri Pos Buntu (Kampung Orang Asli), anda akan sampai ke sini.
.


Pondok bayaran masuk di sini sahaja. 200 meter di hadapan adalah Hutan Lipur.
.


Jeram mandi utama.
.

Pemandangan Jeram dari Jambatan Gantung
.


Pemandangan Sungai Lipis dari Jambatan Gantung
.


Peta Kawasan Hutan Lipur
.


Lokasi bergambar berdekatan dengan Jambatan Gantung
 .


Kawasan perkhelahan kecil berdekatan Chalet. Ada banyak lagi kawasan Perkhemahan/Perkhelahan

  .

Sungai Lipis yang deras untuk bermandi manda
.

 

Melepasi Jambatan Gantung ada terdapat banyak lagi daya tarikan.

.

Wall Climbing yang kelihatan sudah lama tidak digunakan.

.



 

Rope Element/Skywalk untuk sukan Memanjat Tali Tinggi

 .

 

Skywalk tadi begitu menarik juga.

.

 

Papan Tanda peringatan untuk tidak membuang sampah.
.


Peraturan-peraturan di Hutan Lipur yang harus diketahui.
.

 

.

 

Larangan-larangan di dalam Hutan Lipur

.



.


.


Kemudahan Chalet tetapi hanya ada beberapa unit sahaja.
.


Jalan kecil ini akan terus menuju ke hujung Hutan Lipur untuk masuk ke dalam hutan.
 

Comments

Popular Post

Air Terjun Sungai Pertak, Kuala Kubu Baharu, Selangor

Jeram Tengkek, batu Kikir, Kuala Pilah

Mendaki Gunung Kinabalu (Laban Rata ke Puncak) - Bahagian 3