Mendaki Gunung Nuang Dari Janda Baik, Pahang.
Pemandangan indah dari puncak Gunung Nuang. |
Gunung Nuang terletak di sempadan antara Selangor dan Pahang iaitu daerah Hulu Langat (Kampung Pangsun) di Selangor dan Bentong (Janda Baik) di Pahang.
Kebanyakan peminat mendaki gunung di Malaysia semestinya sudah mengenali gunung terkenal ini yang berketinggian sekitar 1490 meter dari paras laut.
Gunung Nuang boleh diakses dari dua arah. Kebiasaannya didaki dari Kampung Pangsun, Hulu Langat, Selangor berbanding dari Janda Baik, Pahang. Boleh dikatakan, lebih 90 peratus pengunjung adalah dari Pangsun.
Walaupun trek mandaki dari Pangsun dua kali ganda lebih mencabar berbanding Janda Baik, ramai pendaki lebih menggemari trek pendakian dari Pangsun yang lebih menarik dan banyak lokasi persinggahan.
Namun perbincangan pada kali ini adalah begaimana mendaki Gunung Nuang dari Janda Baik yang dikatakan lebih mudah dari Pangsun walaupun tidak begitu banyak daya tarikan. Benar, pendakian dari Janda Baik hanya mengambil masa sekitar 3 hingga 4 jam berbanding antara 5 hingga 7 jam jika dari Pangsun.
Jika di Janda Baik, lokasi permulaan mendaki adalah dari Kawasan Kebun yang terletak di hujung kampong Janda Baik dan akan melalui satu perkampungan kecil orang asli. Tiada Kawasan Rekriasi atau Hutan Lipur Gunung Nuang di Janda Baik seperti yang terdapat di Pangsun. Di Janda Baik, anda boleh meletakkan kenderaan di sebelah Sungai Cemperoh di kawasan khas yang disediakan oleh orang persendirian dengan bayaran tertentu.
Kini, terdapat beberapa Kem/Lokasi Parking di hujung Kampung Janda Baik dengan kemudahan asas seperi Tandas, Surau dan Pondok untuk pengunjung.
Jadual Perjalanan mendaki dari Janda Baik adalah seperti berikut:
Kem/Parking – Kebun – Masuk Perkampungan Orang Asli – Masuk Hutan – Trek Buluh – Air Terjun Cemperoh – Trek mendaki bukit – Simpang ke Bukit Repin – Kawasan Berbatu – Puncak Gunung Nuang.
Di Janda Baik, selain tidak terdapat Kawasan Rekriasi/Hutan Lipur, tiada lokasi-lokasi menarik lain yang boleh disingah kecuali hanya Air Terjun Cemperoh. Tiada kawasan perkhemahan yang rasmi disediakan seperti di Pangsun. Di sepanjang trek juga, tiada Pondok Rehat atau Papan Tanda maklumat disediakan.
Apakah Bukit Repin?
Bukit Repin terletak di kawasan Kampung Janda Baik tidak jauh dari Gunung Nuang. Puncak Bukit Repin adalah lokasi pendakian tambahan di sini selain dari Nuang. Benar, anda akan menemui simpang ke Bukit Repin dalam perjalanan mendaki ke Gunung Nuang. Tetapi laluan tersebut sudah lama tidak dilalui dan agak semak juga. Ini disebabkan kebanyakan pendaki akan melalui trek baru dari Janda Baik untuk ke Bukit Repin dan bukan lagi dari laluan ini.
Maklumat Tambahan
Sekiranya anda pernah mendaki Gunung Nuang dari Janda Baik sejak beberapa tahun yang lalu, pasti anda akan dapat melihat perubahan yang ketara di trek permulaan mendaki. Kawasan Kebun dan Perkampungan Orang Asli sudah terang dan banyak yang diteroka. Dahulu, selepas Kebun terdapat hutan-hutan yang masih tidak diusik. Perbezaan ini dilihat ketara terutama sejak tahun 2017.
Selain daripada itu, Kampung Janda Baik juga sudah semakin membesar dan banyak kawasan yang diteroka. Kelihatan Resort-Resort, Kebun, Kawasan Rekriasi dan sebagainya semakin bertambah. Anda sendiri akan pening untuk memilih lokasi yang hendak dituju kerana semakin banyak pilihan. Kampung Janda Baik mengalami perubahan yang besar sejak tahun 2015 dan sedikit demi sedikit dari tahun 2010.
Melepasi sungai keci (Sungai Chemperoh) berdekatan dengan Parking Kereta. |
Comments
Post a Comment