Laluan Bersejarah Keretapi Antara Seremban Ke Port Dickson. (Bahagian 1 : Pengenalan & Maklumat Am)
PENGENALAN LALUAN KERETAPI SEREMBAN - PORT DICKSON
Bukan calang-calang, namun laluan Seremban ke Port Dickson adalah laluan terawal yang pernah wujud di Malaya suatu ketika dahulu. Bukanlah yang pertama tetapi laluan ini wujud selepas perkhidmatan Keretapi Muar dan Taiping - Port Weld serta berada di ranking kedua. Tetapi, laluan terawal pertama dan kedua tidak lagi wujud dan hanya tinggal kenangan.
Dibuka pada 1891, Laluan Seremban-P.D. ditamatkan perkhidmatan pada Julai 2008 yang lalu dan keretapi penumpang tamat pada awal 90an. Tidak dapat dipastikan adakah pada peringak akhir laluan ini digunakan antara Tapis Mintak ke Seremban atau dari Port Dickson ke Seremban. Kemudian, laluan ini hilang sedikit demi sedikit.
Memang benar, dahulu juga pernah wujud laluan Keretapi dari Bahau ke Kuala Pilah di Negeri Sembilan. Namun begitu, laluan itu telah tiada dan hanya tinggal kenangan yang telahpun hilang. Laluan Keretapi Seremban ke Port Dickson yang tinggal kenangan ini sebenarnya masih lagi wujud dan ditinggalkan.
Apa yang menarik, Laluan Seremban ke P.D. adalah laluan yang menyaksikan sejarah KTMB sejak:
FMSR (1901-1948) -> MR (1948-1962) -> KTM (1962-1992) -> KTMB (1992-now)
*FMSR (Federated Malaya States Railway), MR (Malayan Railway) & KTM (Keretapi Tanah Melayu)
Laluan sepanjang 38 Kilometer ini akan melalui pekan, jalan raya, perkampungan, taman perumahan, sawah (satu ketika dahulu), hutan, semak samun, Ladang Getah dan Kelapa Sawit. Antara lokasi-lokasi penting yang akan ditempuhi adalah:
Seremban -> Rahang -> Rasah -> Kg Rasah -> Mambau -> Kg. Bemban -> Kuala Sawah -> Kg. Sega Hulu-(Sempadan Daerah)> Ladang Salak Siliau -> Ladang Sawit -> Tapis Minyak -> Loji Penapisan Shell & Esso -> Pekan Port Dickson.
*Sungai Linggi terletak bersebelahan atau berdekatan dengan landasan di kawasan Mambau dan Kuala Sawah.
*Melintasi Lebuhraya Seremban - Port Dickson sebanyak dua kali. Lebuhraya Seremban-Port Dickson dibina pada tahun 90an ketika landasan ini masih lagi digunakan.
Dua gambar lama menunjukkan Stesen Keretapi Port Dickson & laluan berdekatan Sungai Ujong ketika dalam pembinaan. |
.
Salah satu Lokomotif berkuasa wap yang pernah digunakan untuk laluan ini. |
.
SEJARAH LALUAN SEREMBAN - PORT DICKSON
Ketika pembinaannya pada tahun 1889, landasan keretapi merentasi negeri-negeri di Malaya belum lagi wujud. Malah, syarikat FMSR (Federated Malaya States Railway) yang kini dikenali dengan KTMB masih belum ditubuhkan. Beberapa laluan keretapi terawal yang wujud di Malaya pada ketika ini hanyalah untuk menghubungkan dua destinasi yang berdekatan sahaja bagi tujuan logistik dan pengangkutan.
Port Dickson sebelumnya ini dikenali dengan nama Tanjong dimana lokasinya berdekatan dengan sebuah pulau kecil yang dikenali dengan nama Pulau Arang. Tujuan utama pembukaan laluan ini pada awalnya adalah untuk membawa Bijih Timah dan penumpang dari Seremban ke Pelabuhan Dickson atau sebaliknya. Laluan ini dikendalikan oleh Syarikat Kereta Api Sungai Ujong sejak dibuka. Pada tahun 1908, syarikat FMSR mengambil alih pengurusan laluan ini.
Laluan Seremban-Port Dickson yang ada sekarang ini atau yang terakhir digunakan pada tahun 2008 yang lalu bukanlah laluan asal yang wujud ketika mula dibuka dahulu. Setelah lebih 130 tahun, laluan asal sudah banyak mengalami perubahan. Dikatakan laluan permulaan dahulu adalah berbentuk zig-zag atau berpusing-pusing. Ini bertujuan untuk membolehkan keretapi melalui banyak lokasi bagi tujuan pengangkutan. Kemudian sedikit demi sedikit, laluan dipendekkan kerana banyak jalan raya sudah dibina dan untuk menyesuaikan dengan jarak/masa perjalanan.
Semestinya juga, Lokomotif dan Koc Gerabak yang digunakan akan mengalami perubahan seiring dengan zaman. Pada zaman 1890an hingga 1960an, Lokomotif berenjin Wap/Stim digunakan begitu juga dengan Koc/Gerabak kayu. Menjelang 1970an, Lokomotif berkuasa Diesel mula digunakan sedikit demi sedikit bagi menggantikan Lokomotif berkuasa wap di seluruh negara. Begitu juga dengan sistem landasan, automasi, isyarat dan peralatannya yang banyak mengalami naiktaraf seiring dengan zaman. Tetapi laluan Seremban - Port Dickson mungkin tidak sempat untuk dinaiktaraf kepada sistem moden yang ada sekarang kerana perkhidmatannya telahpun dihentikan pada tahun 2008.
Pembukaan Loji Penapisan Minyak Esso pada tahun 1960an dan seterusnya Loji Penapisan Shell berdekatan laluan ini turut membawa banyak perubahan kepada fungsinya. Stesen Utiliti Tapis Minyak dan Landasan Penyimpanan telah dibina berdekatan dengan Loji Penapisan. Lebih banyak bekalan minyak dibawa menggunakan keretapi dari laluan ini untuk ke bandar Seremban dan seterusnya ke lokasi lain di Lembah Klang dan Utara. Dikatakan antara tahun 1971 hingga 1977, banyak perubahan landasan telah dibuat dan beberapa stesen/hentian lama yang tidak relevan telah ditutup. Menjelang era 1980an, perkhidmatan Keretapi Seremban-Port Dickson lebih bertujuan untuk membawa barang berbanding penumpang dan tiada lagi keperluan untuk berhenti di banyak lokasi seperti awal dahulu.
Berdasarkan fakta sejarah daripada beberapa Blog, perkhidmatan keretapi penumpang adalah penting suatu ketika dahulu dan ada mengalami pasang surutnya. Pengangkutan penumpang memang penting terutama sebelum wujudnya jalan raya moden sebelum tahun 1960an. Perkhidmatan tren penumpang mungkin masih kerap digunakan di era 1970an. Namun, kali terkakhir keretapi penumpang wujud adalah pada tahun 80an dan ada juga sumber tidak rasmi menyatakan masih lagi wujud pada awal 90an. Selepas itu, tiada lagi perkhidmatan tren penumpang ditawarkan dan hanya Keretapi yang membawa Gerabak & Barang sahaja yang wujud.
Peta lama yang menunjukkan laluan keretapi antara Seremban ke Port Dickson. |
.
.
Stesen Keretapi Klasik Seremban
Mungkin kita tidak sedar bahawa Stesen Seremban sendiri adalah sangat klasik dan sudah wujud sejak sekian lama sepertimana laluannya ke Port Dickson. Seperti yang diketahui, laluan Seremban ke Port Dickson wujud sebelum kewujudan Keretapi Tanah Melayu lagi atau dikenali pada awalnya dengan nama Federated Malaya States Railway (1901-1948). Bermaksud, sebelum wujudnya laluan Keretapi Utara ke Selatan sekitan 1900an laluan Port Dickson sudahpun beroperasi.
Stesen Keretapi Seremban yang wujud sekarang ini dibina pada tahun 1904 hingga 1910 dan mula digunakan pada tahun 1910. Namun Stesen Seremban & Stesen Port Dickson telahpun wujud sejak 1891 dan bermakna lebih awal lagi. Tidak dapat dipastikan adalah Stesen Seremban yang sama digunakan atau sudah diubah antara tahun 1891 hingga 1910. Berdasarkan gambar lama yang diambil, kelihatannnya seperti Stesen Seremban yang wujud pada tahun 1891 adalah sama seperti yang mula digunakan pada tahun 1910.
Jika perbandingan dibuat, Stesen Keretapi Seremban lebih tua daripada Stesen Keretapi Klasik Ipoh dan Kuala Lumpur. Tetapi dari segi saiz dan corak pembinaan semestinya stesen Ipoh dan Kuala Lumpur lebih menarik dan besar.
Gambar lama Stesen Keretapi Seremban. |
.
Stesen Keretapi Seremban yang sama masih digunkan hingga ke hari ini. Lihat Menara Jam dan Pintu Masuk Utama yang kelihatan sama. |
.
.
Stesen/Hentian Kecil antara Seremban ke Port Dickson yang pernah wujud dahulu
Stesen-stesen yang masih kelihatan wujud sehingga kini adalah Stesen Keretapi Seremban dan Port Dickson. Tetapi ada sebuah lagi Stesen Utiliti yang masih wujud walaupun sudah usang iaitu Stesen Tapis Minyak (mungkin dibina sekitar 1960an). Antara Hentian-Hentian kecil lain yang pernah wujud dahulu adalah:
-Pekan Rasah
-Pekan Mambau
-Kampung Stesen, Kuala Sawah
-Siliau (Mungkin di jajaran lama)
-Sungai Salak (Mungkin di jajaran lama)
-Kg. Si Rusa (Mungkin di jajaran lama)
-Kg. Bagan Pinang (Mungkin di jajaran lama)
Gambar lama Stesen Keretapi Port Dickson yang agak kecil sahaja. |
.
Gambar lama yang diambil dari Jeti tepi laut. Kelihatan Stesen Port Dickson di hadapan sana. |
.
Stesen Keretapi Port Dickson sekarang yang sudah usang. Kelihatan terdapat sambungan ke jeti & rel keretapi dihadapan. |
.
MENGAPA LALUAN INI TIDAK LAGI DIGUNAKAN SELEPAS JULAI TAHUN 2008?
Ramai yang beranggapan bahawa pembinaan Lebuhraya Seremban ke Port Dickson adalah punca mengapa laluan ini tidak lagi relevan. Tetapi Lebuhraya Seremban-P.D. telah dibina sejak tahun 1996-97 lagi dan perkhidmatan keretapi masih lagi berjalan lebih 10 tahun walaupun Lebuhraya telah wujud. Mungkin sebab-sebab di bawah ini ada kaitannya:
-Keadaan landasan keretapi yang sudah usang dan berisiko untuk digunakan.
-Kejadian keretapi yang membawa Gas LPG & Diesel tergelincir di Kuala Sawah. Ini berlaku pada tahun 2008 lalu dan sejak itu laluan ini tidak lagi digunakan. Dikatakan ini adalah sebab utama penutupannya.
-Pembinaan Fly-Over (Jalan Bertingkat) di Jalan Lingkaran Tengah di Kampung Datuk Mansor, Rasah (berhampiran dengan Masjid) telah menutupi laluan landasan ini.
Atau mungkin ada sebab-sebab lain yang lebih diketahui oleh pihak berkaitan.
MASA DEPAN LALUAN INI DAN USAHA MEMBAIKPULIH
Berdasarkan sejarah yang lalu, laluan ini memang sudah tiada masa depan. Jika dilihat apa yang telah berlaku kepada landasan Taping ke Port Weld & Landasan Pasir Mas ke Rantau Panjang, boleh dikatakan laluan ini akan hilang begitu sahaja dan yang tinggal mungkin hanya papan tanda kenangan.
Bolehkah Laluan ini Dibaikpulih?
Membaikpulih laluan ini memang bukan sesuatu yang mudah kerana jika diperhatikan betul-betul, hampir semua laluan telah mengalami kerosakan yang teruk. Namun, terdapat lokasi yang mudah untuk dibaik pulih dan terdapat juga lokasi yang agak sukar untuk dibaikpulih kerana mengalami masalah penempatan atau pajakan tanah yang banyak sudah berubah.
Kita boleh bayangkan dua situasi di bawah untuk membuat perbandingan iaitu:
-Jika dibaikpulih sebelum tahun 2010. Disebabkan baru dua tahun tidak digunakan, kerosakan pada ketika ini sangat minima dan masih sedikit perubahan yang berlaku.
-Jika dibaikpulih sebelum tahun 2015. Semestinya akan terdapat kerosakan landasan yang berlaku dan semak samun telahpun wujud. Perubahan struktur sekitar laluan juga sudah berlaku maka usaha membaikpulih agak mencabar.
Setelah lebih 10 tahun dibiarkan, kayu penyokong landasan semestinya sudah reput dan banyak rel landasan yang sudah hilang. Mungkin struktur konkrit seperti jambatan dan tembok penyokong masih kukuh tetapi struktur tanah telah mengalami banyak kerosakan. Banyak semak samun, malah pokok besar sudah tumbuh menutupi seluruh laluan landasan ini.
Dalam rancangan untuk membaikpulih, semestinya rel keluli yang baru perlu digunakan kerana banyak yang sudah hilang dan usang. Penyokong Landasan kayu harus digantikan dengan konkrit sepertimana yang dilakukan di laluan Gemas ke Bahau.
Sebagaian besar laluan ini melalui kawasan Ladang Kelapa Sawit dan semak samun. Banyak kawasan tanah yang sudah mendap dan berubah bentuk akan menyebabkan struktur landasan menjadi rosak. Lokasi dimana landasan berada di kawasan parit yang rendah misalnya telah menyebabkan berlakunya semak samun yang ketara, kayu mereput dan pemendapan tanah. Selain itu, banyak juga jalan tar dan denai baru yang dibina untuk melintasi landasan ini kerana ianya sudah lama tidak digunakan.
Cabaran lain pula akan dihadapi di lokasi dimana landasan ini berada di kawasan pekan atau perkampungan kerana penduduk telah membina bermacam-macam laluan rentas, pondok atau kedai makan di situ. Terutamanya di kawasan berikut:
-Cabaran laluan dari Seremban ke Rasah dan seterusnya ke Mambau.
-Cabaran laluan dari Tapis Minyak ke pekan Port Dickson.
Lintasan Rata Yang Mengganggu Lalulintas
Jika dahulu, landasan keretapi melintasi jalan raya masih mudah dikawal kerana kenderaan tidak banyak. Situasi sekarang lebih mencabar kerana jalan raya semakin besar dan agak sibuk. Bagi mengelakkan gangguan lalulintas dan kesesakan, lintasan keretapi di jalan raya haruslah dikurangkan sebolehnya dengan pembinaan jambatan atau terowong. Tetapi, membina jambatan untuk melintasi jalan raya bukanlah sesuatu yang mudah melainkan ianya telah lama wujud seperti di Jalan Rantau-Siliau dan Pintasan Jalan Utama di pekan Port Dickson.
Membaikpulih Landasan Ini Seperti Mengharapkan Suatu Kejaiban Berlaku.
Bukan mahu memandang negatif, realetinya agak sukar untuk membaikpulih sesuatu warisan sejarah walaupun ianya boleh memberikan satu nilai pelancongan yang tinggi. Membaikpulih landasan Seremban-Port Dickson bukan sekadar membaikpulih bangunan lama seperti Stesen Keretapi Port Dickson kerana jarak landasan sepanjang 38 KM memerlukan tugas yang sangat banyak untuk dilakukan serta modal yang tinggi.
Kesimpulan ringkas yang boleh dibuat adalah semua ini akan lenyap ditelan zaman sepeti yang berlaku di laluan terawal Port Weld ke Taiping. Yang tinggal hanyalah papan tanda atau bangunan lama yang tunggu masa untuk dirobohkan. Mungkin pandemik Covid-19 yang berlaku sedikit sebanyak melengahkan usia lenyap laluan ini tetapi ianya juga boleh melenyapkan harapan dalam industri pelancongan.
Fakta Laluan Keretapi Seremban - Port Dickson
Sumber : Berita Harian - Negeri Sembilan mahu kereta api kembali ke Port Dickson (Mac 26, 2016).
-Bermula sejak 1891, dikendalikan oleh Syarikat Kereta Api Sungai Ujong
-Perkhidmatan berakhir pada Julai tahun 2008. Ketika ini hanya ada Keretapi Barang sahaja.
-Pada peringkat awal untuk mengangkut barangan makanan, minyak, simen, gas LPG dari pelabuhan ke Seremban. *Sumber lain menyatakan tujuan awal adalah untuk mengangkut Bijih Timah.
-Menjadi tidak relevan selepas Lebuhraya dibina. *Ada pendapat lain tentang perkara ini.
-Perkhidmatan Keretapi penumpang pernah diwujudkan dahulu untuk beberapa tahun kerana kurang mendapat sambutan. Tempat duduk kayu dan kipas.
INFO:
-Jarak landasan sekitar 38 KM
-Jarak darat Seremban ke Port Dickson adalah sekitar 32 KM (Lebuhraya)
Laluan Ringkas Seremban - Port Dickson.
Stesen Seremban -> Rahang -> Rasah -> Mambau -> Kg Bemban -> Kuala Sawah -> Kg Sega Hulu ->(Sempadan Daerah PD)-> Ladang Salak Siliau -> Ladang Sawit Siliau/Port Dickson -> Stesen Tapis Minyak -> Loji Penapisan Shell -> Stesen Port Dickson.
Laluan Lebih Terperinci Seremban - Port Dickson seperti yang wujud sekarang. (Lebih Banyak Maklumat di Bahagian 2).
Seremban
-Stesen Keretapi Seremban
-Melalui Rahang (bersama laluan ke Selatan/Gemas)
-Membelok ke Taman Bukit Rasah, tidak jauh dari Hospital Besar.
Rasah
-Melalui mukim Bukit Rasah, Taman Bukit Rasah dan Kem Askar Rasah. Juga bersebelahan Kampung Pasir, Rasah.
-Merentasi sebuah Jalan Kecil berdekatan pekan Rasah
-Melalui kawasan Kampung Dato Mansor
-Merentasi Jalan (kecil) Rasah dan melalui berdekatan dengan Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad
-Melalui kawasan Kampung Chedang, Rasah
-Merentasi (Jambatan Bawah) Lebuhraya Utara Selatan
Mambau
-Melalui kawasan Kampung Seri Mantau, Mambau
-Melalui kawasan Kampung Batu 3, Mambau
-Melalui belakang Balai Polis Mambau
-Merentasi Jalan Seremban - Mambau dan Pekan Mambau
-Menyusuri kawasan Kampung Mawar di Mambau.
Kampung Bemban & Taman Angsamas, Mambau
-Merentasi Leburaya Seremban - PD dan kawasan semak serta Kelapa Sawit.
-Merentasi Jalan Denai Kampung Bemban ke Taman Angsamas/Kampung Bemban Hilir
Kampung Kuala Sawah & Sega Hulu
-Merentasi Loji Rawatan Air (Indah Water) Kuala Sawah serta kawasan semak
-Melalui kawasan Ladang Sawit & Semak di Kuala Sawah
-Kampung Stesen, Kuala Sawah. *Terdapat Jambatan Atas laluan Keretapi di sini.
-Melalui kawasan Ladang Sawit Kuala Sawah
-Merentasi (Jambatan Atas) Jalan Kampung Sega Hulu
-Melepasi Kampung Sega Hulu menuju ke kawasan Ladang Sawit
Siliau
-Melalui kawasan Ladang Sawit Salak, Siliau
-Merentasi (Jambatan Atas) Jalan Rantau - Siliau.
-Melalui kawasan Ladang Sawit Siliau
Kawasan Ladang Kelapa Sawit
-Melalui kawasan Ladang Sawit Siliau
-Merentasi (Jambatan Bawah) Lebuhraya Seremban - PD
-Melalui kawasan Ladang Sawit (Ladang PD Lukut??)
Tapis Minyak & Loji Penapisan Petron (dahulu Esso) dan Shell.
-Merentasi (Jambatan Bawah) Jalan Pantai & menyusuri Taman Port Dickson Utama
-Melepasi Stor TNB
-Stesen Keretapi Tapis Minyak -> Ada laluan satu lagi ke Stesen Penapisan Petron
-Merentasi Jalan Pantai Cunningham
-Pusing/Corner di Shell Refining Company
-Menyusuri Jalan Shell
-Merentasi Jalan Shell
Pekan Port Dickson
-Merentasi (Jambatan Atas) Port Dickson Bypass sebelah Masjid Jamek Dato Haji Abdullah Sijang
-Memasuki Pekan Port Dickson
-Stesen Keretapi Port Dickson
-Pelabuan & Jeti Terapung
Sumber Rujukan :
Greate Malaysian Railway Journey Blog/Website, Wikipedia Bahasa Melayu, Berita Utusan, Harian Metro, Muzium Negeri Sembilan.
Galeri-Galeri Di Sepanjang Laluan:
Depoh KTMB Seremban yang terletak bersebelahan dengan Stesen Keretapi Seremban. |
.
Persimpangan landasan berdekatan dengan Rahang, Seremban dimana rel sebelah kanan menuju ke Rasah/Port Dickson sementara terus akan menuju ke Rembau/Gemas. |
.
Gambar ini menujukkan Kampung Pasir (sebelah kiri) & Taman Bukit Rasah (kanan). Landasan keretapi sudah tidak kelihatan dengan jelas. Di hadapan sana adalah Kampung Dato Mansor. |
.
Sebelah kiri adalah Taman Angsamas manakala sebelah kanan adalah Kampung Bemban. Laluan keretapi melalui kawasan Ladang Getah di tengah ini. |
.
Melepasi Kampung Bemban, laluan keretapi seterusnya menuju ke Loji Rawatan Air Indah Water di sana dan kemudiannya menuju ke Kuala Sawah. |
.
Jambatan ini terletak di Kampung Stesen, Kuala Sawah berdekatan dengan Ladang Sawit. Kelihatan rel keluli sudah hilang. |
.
Jambatan keretapi ini merentasi jalan di Kampung Sega Hulu, Rantau. Kelihatan semuanya sudah semak samun dan dilitupi pokok besar. |
.
Gambar dari udara, jambatan keretapi di Jalan Rantau ke Siliau. Masih terdapat rel keretapi yang sudah usang. |
.
Stesen Tapis Minyak yang sudah usang & semak. |
.
.
.
Terdapat laluan keretapi menuju ke Loji Penapisan Shell di Tapis Minyak, Port Dickson. |
.
Peralatan Isyarat yang masih wujud berdekatan dengan Kedai Makan di hadapan Loji Penapisan Shell. |
.
.
.
Comments
Post a Comment