Keretapi Mel Kuala Lumpur-Seremban-Gemas Yang Tinggal Kenangan.
Keretapi Mel merupakan istilah klasik bagi keretapi henti-henti yang lalu pada suatu ketika dahulu dan berhenti di semua stesen kecil atau besar. Sekarang, Tren henti-henti lebih dikenali sabagai Shuttle seperti di Kelantan, Pahang & Johor.
Istilah Keretapi Mel digunakan meluas sebelum tahun 2000 dan masih digunakan lagi sehingga tahun 2010 sebelum istilah moden 'Shuttle' mula mengambilalih nama bagi keretapi henti-henti ini. Bermaksud, Keretapi Mel adalah keretapi bersejarah yang wujud terdahulu terutamanya sebelum tahun 2005.
Terdapat banyak laluan dan jenis Keretapi Mel yang wujud dahulu dan sentiasa berubah-ubah laluannya mengikut keperluan penumpang dan perubahan zaman. Kita mengetahui bahawa pembinaan landasan berkembar dan pengenalan KTM Komuter telah menyebabkan perkhidmatan Keretapi Mel dihentikan. Namun begitu, antara yang popular pada era awal 90an dahulu adalah:
-Keretapi Mel Kuala Lumpur-Butterworth.
-Keretapi Mel Padang Besar-Butterworth.
-Keretapi Mel Kuala Lipis - Gemas.
-Keretapi Mel Singapura - Johor Bahru - Gemas.
-Keretapi Mel Kuala Lumpur-Gemas-Kuala Lumpur
Perkhidmatan Keretapi Mel yang masih wujud sehingga ke hari ini walaupun telah mengalami banyak naik taraf dan penutupan hentian/stesen:
-Tren Shuttle Kuala Lipis - Tumpat.
-Tren Shuttle Gemas - Johor Bahru (banyak stesen lama yang sudah ditutup).
Keretapi Mel Kuala Lumpur-Gemas-Kuala Lumpur (dihentikan pada tahun 1995).
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa laluan antara Seremban ke Gemas satu ketika dulu pernah wujud perkhidmatan Keretapi Mel atau henti-henti. Keretapi Mel laluan ini bukanlah bagitu terkenal malah ia menjadi antara Keretapi Mel yang kurang sambutannya kerana kemudahan jalan raya & bas antara Seremban-Tampin-Gemas yang telah wujud. Antara stesen-stesen yang terlibat adalah:
Seremban-Rembau-Tampin-Kampung Tebong-Batang Melaka-Air Kuning Selatan-Gemas.
Keretapi Mel ini sebenarnya menggunakan laluan Kuala Lumpur ke Gemas. Stesen antara Seremban ke Kuala Lumpur adalah: Seremban-Labu-Batang Benar-Kajang-Serdang-Kuala Lumpur. Dengan hanya Stesen Kajang sahaja akan disinggah oleh Ekspress. Ini adalah situasi ketika KTM Komuter belum diperkenalkan.
Merupakan Keretapi Mel yang ditamatkan perkhidmatan paling awal kerana arus kemodenan adalah Tren Keretapi Mel Kuala Lumpur - Gemas pada tahun 1995. Mengapa? Apabila laluan Seremban - Rawang diperkenalkan KTM Komuter pertama pada tahun 1995, tidak ada keperluan lagi untuk tren mel KL-Gemas beroperasi walaupun bukan semua laluan ditempuhi oleh KTM Komuter.
Akibatnya, laluan Seremban ke Gemas mati kerana tiada lagi Tren Mel melaluinya melainkan Tren Ekspress seperti Ekspress Rakyat & Ekspress Wau. Stesen kecil seperti Stesen Rembau, Stesen Kampung Tebong & Stesen Air Kuning Selatan pun mati. Hanya Stesen Keretapi Tampin dan Batang Melaka yang masih hidup kerana Tren Ekspres akan berhenti di situ.
Walaupun merupakan pekan bagi daerah Rembau, Stesen Keretapi Rembau sejak dahulu dianggap Stesen Kecil dimana keretapi Ekspress seperti Ekspress Rakyat & Ekspress Wau tidak pernah berhenti di sini. Hanya Stesen Tampin yang kekal menjadi stesen hentian Ekpsress sejak dahulu lagi.
Laluan Keretapi Seremban ke Gemas mati (daripada lalaun Keretapi Mel) sehinggalah apabila Projek Landasan Berkembar Seremban ke Gemas dilaksanakan pada tahun 2010 hingga 2013. Bermula dengan pembukaan Stesen Baru Senawang dan Sungai Gadut pada tahun 2011. Ini diikuti dengan pembukaan Stesen Rembau yang dinaiktaraf. Stesen Tampin juga dinaiktaraf dan ditukar nama menjadi Stesen Pulau Sebang dan Stesen Batang Melaka juga dinaiktaraf pada tahun 2013.
Yang menyedihkan adalah Stesen Keretapi Kampung Tebong dan Air Kuning Selatan telah dirobohkan ketika pembinaan landasan berkembar. Walaupun tidak lagi digunakan sejak tahun 1995, stesen-stesen ini masih wujud dan terbiar sehinggalah tahun 2013.
Apabila landasan berkembar diteruskan ke Gemas di Selatan dan seterusnya ke Ipoh sehinggalah ke Padang Besar, perkhidmatan Tren Mel pun ditamatkan sedikit demi sedikit di sektor Utara. Namun jangan risau kerana di Pahang, Kelantan dan Johor perkhidmatan Keretapi Mel masih wujud. Mungkin akan berakhir perkhidmatan Keretapi Mel di Johor tidak lama lagi (dijangka 2022).
Laluan Mati Gemas Ke Kuala Lipis Yang Sudah Wujud. (Hanya Tren Ekspress Timuran yang lalu).
Laluan mati Seremban ke Gemas yang berlaku antara tahun 1995 hingga 2013 akan terjadi kepada laluan Gemas ke Kuala Lipis pula. Ini disebabkan hanya Ekspress Timuran yang menjadi satu-satunya keretapi yang melalui laluan ini dan hanya berhenti di stesen besar sahaja seperti Triang, Mentakab, Kuala Kurau dan Jerantut. Keadaan ini berlaku selepas banjir besar pada tahun 2014/2015 yang lalu dimana Ekspress Wau juga telah dihentikan perkhidmatannya.
Perkhidmatan Keretapi Mel yang turut ditamatkan selepas kejadian banjir besar tersebut adalah Keretapi Mel (atau Shuttle) Kuala Lipis - Gemas. Tren ini adalah satu-satunya Tren Henti-Henti terakhir yang melalui laluan ini sebelum ianya tinggal kenangan sahaja.
Comments
Post a Comment